Kenali Herba





Nama Saintifik

Melastoma malabathricum

Family

Melastomaceae

Nama Tempatan

Senduduk putih, keduduk putih, white Singapore rhododendron, senduduk gunung

Keterangan

Melastoma malabathricum ialah pohon renek bersaiz sederhana yang membesar hingga 6 m tinggi (Zakaria 1994). Batang berdaun mudah, bertentangan, kemerahan dan ekstipulat. Daun berbentuk eliptik sehingga lanseolat, pangkal daun membulat sehingga runcing, atas dan bawah daun berbulu lembut sehingga berbulu keras. Tumbuhan ini mempunyai bunga putih dengan warna ungu merah jambu dan kadang-kadang terdapat tiga bunga dalam satu jambak bunga. Buahnya adalah kapsul, berisi, mendedahkan pulpa biru gelap lembut dengan biji jingga.

Kegunaan

Senduduk putih dikatakan mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan digunakan oleh masyarakat Melayu untuk rawatan luka, penjagaan selepas bersalin dan pencegahan parut daripada jangkitan cacar kecil (Sulaiman et al. 2004). Ia juga digunakan sebagai pencuci muka (Fasihuddin & Ghazally 2003). Selain itu, air rebusan daun dan pucuk senduduk digunakan untuk cirit-birit dan campuran rebusan daun dan akar digunakan untuk wanita selepas bersalin (Burkill 1935).

Monograf Herba Malaysia (sumber: Globinmed)